Pembangunan Negara



3.0 Bahagian C ini ada mempunyai dua komponen pembelajaran.  Skop pembelajaran tentunya menjurus terus kepada aspek pembangunan sesebuah negara berdasarkan kepada dua teks STPM yang telah dicadangkan. Para pelajar dikehendaki menjawab satu daripada dua soalan yang akan dikemukakan. Sila ikuti penerangan setiap pecahan tajuk pada post-post berikutnya.

Dua komponen pembelajaran tersebut ialah:

3.1  Politik.
Tajuk ini terdapat tiga sub tajuk iaitu:
3.1.1 Kepimpinan
3.1.2 Nasionalisme
3.1.3 Peraturan dan undang-undang

3.2 Ekonomi.
Tajuk ini terdapat tiga sub tajuk iaitu:
3.2.1 Pertanian
3.2.2 Usahawan
3.2.3 Perdagangan.

Sub tajuk perbincangan hendaklah menjurus kepada aspek di bawah:
-Pertanian
-Keusahawanan
-Perdagangan.
Ekonomi merupakan ilmu yang mengkaji bagaimana manusia mengagihkan sumber-sumber ekonomi yang terhad untuk memenuhi kehendak-kehendak manusia yang tidak terhad

Sumber ekonomi merupakan faktor-faktor pengeluaran yang diperlukan untuk mengeluarkan barang-barang dan perkhidmatan. Ia terdiri daripada buruh, tanah, modal dan usahawan. Sumber ekonomi adalah terhad penawarannya.

Kehendak manusia pula bermaksud ialah keinginan individu terhadap barangan dan perkhidmatan yang tidak terhad kehendaknya. 


Pembicaraan tentang ekonomi ini perlu dihubungkaitkan dengan faktor-faktor pengeluaran berkenaan dan segala perkara yang berkaitan yang dilihat dalam teks STPM.


\




Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)

Kegiatan ekonomi yang penting bagi teks Sulalatus Salatin dikaitkan dengan kegiatan pertanian. Bukit Siguntang adalah kawasan perhumaan yang menggambarkan wujud kegiatan pertanian dan cita masyarakat setempat yang ingin kaya raya punya emas segala. Lalu anganan para penduduk yang ingin kaya raya itu diimaginasikan melalui cerita ajaib dengan harapan menjadi kenyataan. Kedatangan keturunan raja Melaka dikatakan telah mengubah tanaman berkenaan iaitu pokok padi berbuah emas, berdaun perak dan berbatangkan suasa.
Sejarah Melayu juga telah mengemukakan aspek ekonomi lampau yang menjurus kepada sistem ekonomi sara diri sebagaimana yang digambarkan dalam cerita Badang. Badang digambarkan sebagai seorang penangkap ikan yang berperang dengan unsur alam termasuk unsur ghaib seperti hantu. Persoalan tentang kaedah untuk mendapat sumber pendapatan ini ditunjukkan bagaimana Badang menggunakan lukah untuk menangkap ikan. Namun lukahnya sering tidak berhasil dan rosak kerana ada faktor halangan yang diungkap melalui kehadiran seekor hantu.

Berikutan diri Badang yang semakin kuat kudratnya, kegiatan ekonominya bertukar menjadi seorang yang mampu membersihkan kebun dan hutan. Lalu sebahagian masyarakat memanfaatkan kemampuan Badang yang perkasa untuk tujuan aktiviti pertanian mereka. Kekuatan Badang juga adalah gambaran cita-cita masyarakat pada masa itu yang mengharapkan teknologi tertentu yang memudahkan kerja seharian mereka dengan mengimaginasikan Badang menjadi kuat kerana makan muntah hantu. Jika dilihat pada masa kini, Badang yang dimaksudkan kini adalah sebuah jentera berat yang juga mampu melakukan kerja dengan mudah dan pantas. 

Badang adalah sumber manusia yang lebih dikenali sebagai buruh dalam istilah ekonomi. Dia adalah pekerja yang berkesan kerana sifatnya yang rajin. Malah Badang juga adalah pekerja yang sangat produktif kerana kuat bekerja dan mempunyai kekuatan. Sebagai sumber ekonomi yang penting, Badang telah menyubangkan sesuatu yang bermakna demi keajuan sesebuah penempatan iaitu di negara Singapura. Sekiranya seorang yang bernama Badang mampu memberikan sumbangannya dengan maksimum, sudah tentu jika wujud ramai orang seperti Badang, sesebuah negara akan terus maju dan lebih makmur. Jika keadaan berlaku sebaliknya, kemungkinan yang akan berlaku juga menjadi sebaliknya. Negara akan mundur dan tidak mampu menjana pendapatan negara yang lebih tinggi kerana masyarakatnya malas dan bersifat lemah.
Terdapat juga unsur ekonomi yang berkait dengan perniagaan yang dapat dibuktikan melalui aktiviti pedagang Arab yang datang berniaga di Melaka dan pada masa yang sama mengembangkan agama Islam. Usaha golongan peniaga yang datang ke Melaka bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan para pedagang, malah ia akan mampu memberikan peluang kepada penduduk tempatan dari sudut memenuhi keperluan hidup samada dalam bentuk barangan ataupun perkhidmatan. Jika orang Melaka ingin mendapatkan pakaian, maka para pedagang akan dapat memenuhi kehendak mereka. Jika Melaka memerlukan sejumlah barangan yang lebih banyak, maka kegiatan import perlu dilakukan. Hal ini telah dilakukan oleh Sultan Mahmud, di mana beliau telah mengarahkan Hang Nadim supaya membeli kain di India. Hang Nadim telah diminta membeli 40 jenis kain dengan 40 warna. Setiap jenis kain pula mengandungi mengandungi 40 corak. Malangnya usaha terebut tidak berjaya, kerana kapal Hang Nadim telah tenggelam dipukul ribut.

Perkataan "mengenali dagang dan santeri" adalah menggambarkan betapa pembesar negara amat menjaga kepentingan golongan peniaga. Golongan peniaga dianggap sebagai sangat penting kerana mereka menyumbang kepada pendapatan negara. Banyak golongan berkepentingan (stakeholder) yang mengharapkan sumbangan kekayaan peniaga. Namun malangnya keadaan menjadi tidak terkawal dan wujudlah rasuah dan pembunuhan. Hal ini boleh memberi kesan kepada kejatuhan negara seperti Melaka. Oleh itu negara kita juga harus menghindarkan diri dari rasuah kerana ia boleh mengundang kepada salah satu sebab kejatuhan negara.
Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur

Selaras dengan isu ekonomi tahun 70an dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur pula secara jelas mengungkapkan aspek ekonomi moden yang menjurus kepada latar zaman novel tersebut dihasilkan. Isu tentang pengurusan sumber yang terhad seperti tanah lombong adalah menjadi salah satu persoalan novel ini. Pembukaan lombong tidak semudah kata-kata. Ia perlu dirancang dengan baik dari semua aspek samada dari sudut manusia, alam dan kepentingan-kepentingan lain.  Lalu timbul pelbagai konflik yang menyentuh jiwa nurani masyarakat. 

Juga terdapat aspek kegiatan pertanian berskala kecil seperti tanaman bunga orkid. Kegiatan ekonomi harus bermula dengan kegiatan kecil-kecilan (skala kecil). Jika aktiviti itu berdaya maju, mungkin ia boleh diperbesarkan. Sifat keusahawanan yang ada pada diri cik Puan Tipah, belum cukup untuk mencipta kejayaan. Terdapat banyak halangan dan dugaan yang menyebabkan kegagalan berlaku. Kebunnya telah dirosakkan oleh pihak yang dengki dan iri hati.  Perkara seperti ini mungkin menjadi sebab kepada kegagalan untuk menyumbang kepada pembangunan negara kerana produktiviti tidak dapat dihasilkan.

Pengagihan sumber ekonomi pula dijelaskan melalui kegiatan perdagangan sehingga kepada kegiatan eksport ke luar negara. Perniagaan ini mempunyai skala yang lebih besar berbanding tanaman orkit cik Puan Tipah. Rancangan encik Muhammad dan Datok Tan (Tan Chong Seng) mengeksport lada hitam ke luar negara adalah bukti kegiatan ekonomi yang terdapat dalam novel ini. Proses ini berkait rapat dengan konsep usahasama di antara rakan kongsi yang mempunyai banyak pengalaman. Sumbangan ekonomi seperti ini tentu memberi kesan yang lebih signifikan kepada pembangunan sesebuah negara. 

Semua kegiatan ekonomi yang telah dibincangkan sebenarnya memberi gambaran tentang kepentingannya kepada pembangunan negara. Hal ini adalah kerana ia berkait rapat dengan produktiviti negara dan seterusnya menyumbang kepada pendapatan negara yang besar. Realiti negara pada masa kini bahawa kegiatan pertanian seperti padi dan kelapa tetap menjadi pilihan utama kerana ia adalah sumber makanan negara.Pada masa yang sama kegiatan eksport dan import terus berjalan dengan baik.

Perpindahan ke Felda adalah salah satu proses penstrukturan semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Hal ini berkait rapat dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada masa novel ini dikarang. Aspek ini adalah hujah kuat yang menggambarkan tentang tema ekonomi novel ini. Gambaran ini adalah sala satu cara memanfaatkan sumber-sumber seperti manusia dan tanah. Ketika tanah lombong kurang subur kawasannya, maka tanah baru di felda lebih signifikan(penting). Tanah di Kampung Tualang lebih sesuai untuk aktiviti perlombongan berbanding pertanian.

Kegiatan ekonomi paling hangat dibincangkan ialah kegiatan perlombongan bijih timah. Usaha ini telah giat dilakukan oleh encik Muhammad dan pihak-pihak lain yang berkepentingan. Sementara itu ada pihak yang menyokong dengan syarat aspek ekonomi perlu diseimbangkan dengan keperluan akhirat.

3.1 Politik
Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain (wikipedia)
Kamus Dewan edisi ke-4 terbitan 2005 mendefinisikan politik sebagai ilmu pengetahuan berkenaan cara atau dasar-dasar pemerintahan. Ia juga dipanggil ilmu siasah (berasal daripada bahasa Arab) atau ilmu kenegaraan.
Kajian buku Sejarah Melayu dan SBDKL dalah bersesuaian dengan pendapat yang mengaitkan politik juga wujud dalam sektor korporat, agama dan institusi seperti institusi pemerintahan beraja (feudal). Kajian harus menjurus kepada sistuasi penceritaan karya sastera yang dihasilkan dan mampu diterjemahkan kepada kehidupan masa kini.
Pemimpin merupakan individu yang boleh memberi pengaruh kepada individu yang lain di dalam suatu pertubuhan. Sesuatu yang menarik dalam kepimpinan adalah kewujudan pemimpin yang berada dalam organisasi yang mempunyai struktur yang tersendiri dengan mewujudkan hubungan pemimpin dan pengikut bagi mencapai kecemerlangan. Pencapaian yang cemerlang di dalam sesuatu organisasi memerlukan langkah-langkah atau aktiviti-aktiviti yang di rancang oleh pemimpin bagi mendorong pengikutnya meningkat tekat dan keazaman ke arah kecemerlangan organisasi tersebut. Oleh itu, usaha ke arah penyatuan aktiviti sesebuah organisasi bergantung besar kepada kepintaran seseorang pemimpin. Sebagai contoh, seseorang yang membawa beg plastik semasa berkunjung ke pasar terpaksa membimbit dengan bijak agar tidak ada satu barang pun yang dibeli tercicir, beg plastik seperti suatu organisasi ataupun pekerja-pekerja di bawah pangawasan seorang pemimpin
Menurut Kamus Dewan(1989), kepimpinan bermaksud keupayaan memimpin. Mengikut Certo (1997), kepimpinan ialah satu proses pengarahan tingkah laku orang lain ke arah penyempurnaan sesuatu objektif. Pengarahan bermaksud seseorang individu bertindak mengikut cara tertentu atau mengikut sesuatu seperti polisi, organisasi, tatacara dan deskripsi kerja. 
Fleishman menyatakan: ‘Kepimpinan adalah usaha ke arah pengaruh antara perseorangan yang diarahkan melalui proses komunikasi, ke arah pencapaian matlamat atau beberapa matlamat’ (1973:3).
 
Tannenbaum, Weschler dan Massarik (1961) juga memberi definisi yang hampir sama. Bagi Fiedler pula, kepimpinan adalah :......kepimpinan adalah usaha ke arah pengaruh antara perseorangan dimana kuasa dan pengaruh diagihkan secara tidak sama rata sehingga seorang individu boleh mengarah dan mengawal tindakan-tindakan orang lain lebih daripada kawalan mereka ke atas induvidu itu’(1967: 11).


Gaya kepimpinan.

Berdasarkan ilmu pengurusan, gaya kepimpinan terkenal dengan tiga gaya iaitu autokratik, demokratik dan laissez faire (kebebasan). Namun terdapat gaya kepimpinan yang lain yang mungkin bersesuaian dengan ilmu kaji sosial sebagaimana dalam sejarah melayu dan novel SBDKL.
Gaya kepimpinan dalam kajian Fiedler adalah hubungan peribadi apabila seseorang mengarah, menyelaras dan menyelia orang lain dalam pelaksanaan tugas bersama. Pemimpin mengurus kelompok  dengan salah satu cara memberitahu orang apa yang hendak dibuat dan bagaimana hendak membuatnya atau berkongsi tanggungjawab kepimpinan dengan anggota-anggota kelompok dan melibatkan mereka dalam perancangan pelaksanaan tugas. Fiedler tidak menafikan terdapat berbagai-bagai gaya antara kedua-dua gaya kepimpinan ini tetapi asasnya ialah kerja-kerja memotivasi dan menyelaraskan ahli kelompok dilakukan dengan dua gaya kepimpinan ini. Gaya ini boleh difahami daripada cara seseorang menilai rakan sekerjanya yang paling tidak disukainya (LTC). Pertama dipanggil LPC-rendah dan kedua LPC-tinggi (Aminuddin Mohd. Yusof 1994:14).
Gagasan teori kepimpinan ini mempunyai akarnya dalam teori hubungan antara perseorangan. Dalam kajian asalnya yang memeriksa hubungan antara ahli terapi dengan pelanggannya, Fiedler mendapati ahli terapi yang baik reputasinya cenderung menghuraikan pesakitnya sebagai sama dengan dirinya. Sementara yang tidak baik reputasinya menghuraikan pesakit tidak sama dengan dirinya. Ukuran ini, yang dipanggil persamaan andaian (Assumed Similarity A.S.) (Aminuddin Mohd. Yusof 1994:14).


Kepimpinan dalam Sejarah Melayu

Kita perlu melihat pemimpin dan gaya kepimpinanan yang ada pada diri setiap raja dan sultan sebagaimana yang terdapat dalam buku Sejarah Melayu.Secara keseluruhannya sistem feudal memang mengamalkan gaya autokratik kerana semua kuasa dipusatkan kepada seorang ketua yang digelar raja atau sultan.
Proses mempengaruhi ahli masyarakat dan kumpulan tertentu adalah melibatkan gaya kepimpinan. Sejarah Melayu dilihat mempunyai kepentingan ini melalui beberapa peristiwa penting yang terdapat di dalamnya yang melibatkan pelbagai peringkat pemimpin terutamanya golongan raja atau sultan.
Sultan Muzaffar Syah terkenal sebagai pemimpin yang berdedikasi dan sanggup berkorban apa sahaja demi negara. Beliau sanggup menceraikan isterinya Tun Kudu demi memastikan Melaka dapat mencapai kesejahteeraan dan keamanan. Beliau sangat mengenali bakat kepimpinan di kalangan rakyat sebagaimana tindakan baginda melantik Bendahara Paduka Raja Tun Perak.
Sultan Mansyur Syah adalah sultan yang lebih bertolak ansur sekalipun masih dianggap atokratik. Dalam peristiwa pembunuhan Tun Besar anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak oleh Raja Muhammad dalam peristiwa sepak raga, baginda sedia mendengar cadangan pihak rakyat. Akhirnya Raja Muhammad tidak dirajakan di Melaka tetapi dihantar ke Pahang (Inderapura) dan menjadi raja di sana.
Sultan Alaudin Riayat Shah dikenali sebagai sultan yang berjiwa rakyat kerana sanggup menyelami hati nurani rakyat. Beliau sanggup keluar pada waktu malam untuk menangkap pencuri. Gaya kepimpinan beliau boleh diibaratkan kepimpinan melalui tauladan.


Kemudian cuba kita selidiki pula gaya kepimpinan ketua-ketua masyarakat dan ketua pengurusan perniagaan yang wujud dalam novel SBDKL.


3.1.2 Nasionalisme

Nasionalisme 
adalah satu ideologi yang mencipta dan mempertahankan kedaulatan sesebuah negara (dalam bahasa Inggeris "nation") dengan mewujudkan satu konsep identiti bersama untuk sekumpulan manusia.
Para nasionalis menganggap negara adalah berdasarkan beberapa "kesahihan politik" (political legitimacy). Ia berpunca dari teori romantisme iaitu "identiti budaya", hujah liberalisme yang menganggap kesahihan politik adalah berpunca dari kehendak rakyat, atau gabungan kedua-dua teori.

Dalam zaman moden ini, nasionalisme merujuk kepada amalan politik dan ketenteraan yang berlandaskan nasionalisme secara etnik serta keagamaan. Para saintis politik biasanya menumpukan penyelidikan mereka kepada nasionalisme yang ekstrim seperti nasional sosialisme, pengasingan dan sebagainya.
Aspek nasionalisme yang diketengahkan dalam teks Sejarah Melayu dan SBDKL adalah menjurus kepada aspek sosial yang jauh daripada faktor-faktor ekstrim yang menjadi kajian golongan sains politik. Oleh itu kajian tentang kegiatan kemasyarakatan yang menjurus kepada memenuhi tanggungjawab kepada negara boleh dikaitkan dengan nasionalisme atau cintakan negara. Kecintaan negara tidak hanya menjurus kepada kekuatan tentera yang mampu mengangkat senjata menentang musuh negara semata-mata.
Nasionalisme dalam Sejarah Melayu

1.Mempertahankan negara daripada serangan musuh.
Negara Siam adalah negara yang sering mengancam Melaka dalah negara Siam melalui beberapa siri peperangan. Pada peringkat awal, seorang nasionalisme yang berjawatan penghulu di Kelang telah berusaha dengan gigih mempertahankan Melaka daripada serangan berkenaan. Kemudia diikuti dengan beberapa siri serangan yang lain yang memaksa rakyat Melaka tidak tidur malam berjaga bagi memastikan Melaka terselamat daripada serangan musuh. Iktibar daripada kejadian ini adalah semangat nasionalisme yang telah ditunjukkan oleh rakyat Melaka yang sanggup berjuang demi negara.

2. Membina nama baik negara melalui hubungan diplomatik.
Zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah adalah satu zaman yang memerikan kisah hubungan diplomatik dengan empat negara iaitu Sulawesi, Siam, Majapahit dan China. Walaupun terdapat unsur anakronisme dalam hubungan Melaka dengan Majapahit, namun teknik penulisan Tun Sri Lanang ini juga adalah gambaran semangat cinta beliau kepada negara. Semua wakil diplomat yang diutuskan telah membawa nama baik negara bagi memastikan Melaka sentiasa agung dan dihormati. Sebaliknya jika aspek ini tidak ditimbulkan, tentu tujuan penceritaan Sejarah Melayu tidak akan sampai maksudnya. Melaka telah digambarkan sebagai sangat kaya, pemurah dan bijaksana ketika menjalin hubungan dengan China. Malah ketika dengan Siam, kelihatan Melaka amat hebat dari segi peperangan dan dapat membuktikan bahawa Melaka memang wajar menang pada setiap kali berperang dengan Siam.


3. Mempertahankan jajahan takluk negara.
Melaka mempunyai banyak tanah jajahan seperti Pahang, Terengganu, Kelantan, Riau, Siak, Kampar, Haru dan sebagainya. Apabila terdapat pertelingkahan dan masalah di negari jajahan, maka beberapa orang penting Melaka telah dihantar untuk menyelesaikan masalah. Segala masalah yang dihadapi telah diselesaikan dengan bijaksana oleh sultan dan para pembesar Melaka.

4. Taat setia kepada raja dan negara.
Cinta kepada negara juga digambarkan dengan sikap dan tingkahlaku rakyat Melaka. Mereka sangat setia kepada raja dan negaranya. Keseluruhan rakyat Melaka amat patuh kepada arahan sultan. Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi raja dan negara. Namun jika amalan telah berlaku sebaliknya, negara akan mengalami masalah dan menuju kehancuran. Hal ini telah berlaku pada penghujung pemerintahan Melaka dimana rakyat kurang taat, tidak menghormati raja dan melakukan rasuah. pengkhianatan terhadap negara seperti ini telah menyebabkan semangat cinta kepada negara hilang dan akhirnya Melaka kalah kepada tentera luar seperti Portugis.
3.1.3 Peraturan dan undang-undang.

Kehidupan manusia perlu dikawal dengan peraturan dan undang-undang samada dalam bentuk bertulis atau termaktub secara turun temurun melalui satu kepercayaan yang tinggi terhadap keluhuran undang-undang yang telah dipersetujui bersama. Setiap ahli masyarakat akan terikat dengan undang-undang yang telah dipersetujui dan dianggap telah menderhaka atau melanggar perjanjian jika mengingkarinya.


1. Sejarah Melayu meletakkan asas perundangan tertinggi dikaitkan dengan perjanjian atau waad antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana (Nila Utama). Isi perjanjian itu dijelaskan dalam halaman 25.


2. Kemudian apabila kerajaan melayu Melaka ditubuhkan dan agama Islam sampai ke Melaka, telah ditetapkan beberapa aturan dan larangan sebagaimana yang terdapat pada halaman 74. Pada halaman 75 pula dijelaskan tentang pelbagai adat isitiadat sehigga halaman 80.

3. Apabila Sultan Muzaffar Syah menaiki takhta, baginda telah menyuruh membuat kitab undang-undang sebagaimana pada halaman 86 hingga 87 seperti berikut:

      Sebermula adalah Sultan Muzaffar Syah di atas kerajaan itu, terlalu baik budi pekerti baginda dengan adilnya dan murah serta ampun periksa dengan saksama pada mengasihani rakyat baginda; dan bagindalah menyuruhkan membuat kitab undang-undang supaya jangan bersalahan lagi segala hukum menteri.


Pembangunan Masyarakat - Pendidikan




Pendidikan :
Objektif pembelajaran: Menjelaskan kepentingan pendidikan dalam pembangunan masyarakat.

Pembicaraan pembelajaran pada bahagian ini menjurus terus kepada kepentingan pendidikan.

Maksud pendidikan

Plato berpendapat, pendidikan ialah suatu proses untuk membentuk individu yang berakhlak mulia.  Beliau menyokong pendapat Socrates bahawa tujuan pendidikan ialah member latihan moral kewarganaegaraan yang baik. Menurut Aristotle pula, pendidikan ialah ilmu yang bersifat etikal dan politikal.  Mengikut beliau, tujuan pendidikan ialah memberikan setiap warganegara peluang untuk mencapai kebahagiaan hidup.

John McDonald menghuraikan perbezaan pendidikan diantara masyarakat primitif dengan masyarakat moden.  Pengertian pendidikan dalam masyarakat primitif ialah latihan vokasional dan pelajaran adat resam, kepercayaan serta cara sembahyang, disampaikan melalui tunjuk ajar dengan secara tidak langsung daripada keluarga dan pergaulan dengan orang dewasa.  Manakala pengertian pendidikan bagi masyarakat moden pula merupakan latihan khusus  menguasai kemahiran dan memperolehi ilmu pengetahuan yang penting untuk kehidupan disampaikan melalui pengajaran secara langsung daripada guru yang berilmu tinggi serta mempunyai kemahiran mengajar.

John Dewey pula mengatakan bahawa pendidikan adalah satu proses perkembangan individu.  Mengikut beliau, pendidikan merupakan usaha mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan lagi pengetahuan semula jadi yang ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan lebih selamat lagi.

Atan Long pula di dalam bukunya bertajuk “Psikologi Pendidikan” memuatkan di dalamnya beberapa pandangan mengenai pendidikan yang telah dikemukakan oleh beberapa sarjana dan ilmuan Islam. Antaranya ialah; Syed Muhammad Qutb menyatakan bahawa pendidikan adalah proses membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang.  Menurut beliau, tujuan utama pendidikan ialah untuk memperkembangkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani manusia ke arah tahap kesempurnaan.

Berdasarkan Sejarah Melayu

Pendidikan yang wujud dalam Sejarah Melayu adalah mendekati pendapat John Mc Donald. Konsep pendidikan dalam Sejarah Melayu tentunya disesuaikan dengan masyarakat feudal pada zaman terdisional dan primitif. Antaranya adalah pelajaran adat resam, kepercayaan, cara sembahyang dan lain-lain lagi. Terdapat beberapa budaya pendidikan yang telah diamalkan dan diceritakan dalam karya Sejarah Melayu seperti berikut:


Kepentingan mempelajari ilmu membaca al-Quran sebagaimana Tun Mai Ulat Bulu belajar daripada Makhdum Sadar Jahan. Mempelajari al-Quran adalah salah satu petunjuk penting kepada celik huruf masyarakat zaman itu. Ia menjadi budaya golongan masyarakat yang mesti mempelajari ilmu mengaji bagi membolehkan mereka menghayati kehidupan beragama Islam secara asas. Setelah itu, baharulah masyarakat akan mempelajari ilmu agama yang lain termasuk solat.


Kepentingan menuntut ilmu agama berdasarkan kitab muktabar seperti kitab Duril Mazlum daripada Maulana Abu Bakar. Kebolehan membaca dan mempelajari kitab adalah satu tahap pendidikan tinggi yang memungkinkan seseorang itu layak menjadi guru. Seseorang yang telah berguru seperti itu dianggap telah memperolehi ilmu yang melebihi ilmu asas seperti mengaji al-Quran sebelum ini. Oleh itu memang wajar seorang sultan mempelajari tahap  ilmu ini kerana dirinya adalah pemimpin tertinggi negara. Jika sultan tidak belajar tinggi, sudah tentu dirinya dipandang rendah oleh ahli masyarakat feudal dan dipertikaikan kepimpinannya.


Kepentingan menuntut ilmu kepahlawanan sebagaimana yang dilakukan oleh pahlawan Melaka seperti Hang Tuah dan Tun Bijaya Sura. Pada zaman berkenaan, ilmu kepahlawanan adalah sesuatu yang penting kerana ia adalah salah satu cara mempertahankan diri dan negara daripada serangan musuh. Pembelajaran ilmu tersebut mampu menjadikan masyarakat Melaka hidup aman damai tanpa gangguan.
Keperluan mendapatkan penyelesaian masalah hukum hakam agama sebagaimana yang dilakukan oleh sultan bertanya tentang masalah hukum ke sebuah negara lain. Seperti kisah "Bertanya Satu Masalah Agama ke Pasai"(hlm. 247). Dalam peristiwa berkenaan, satu masalah agama telah dikemukakan kepada bijak pandai daripada negara luar. Gambaran ini menunjukkan bahawa, dalam soal pendidikan, kita harus mempunyai semangat kerjasama dan sering berbincang sesama umat dan ahli masyarakat. Jika perkara ini tidak dilakukan, akan menyebabkan diri ahli masyarakat dalam keadaan jahil dan sesat kerana tidak mahu menambahkan ilmu di dada dan bersifat bakhil ilmu.

Kepentingan mengambil pengajaran dan iktibar daripada peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seperti kisah Sang Rajuna Tapa yang belot dan akhirnya menjadi batu,  penderhakaan Hang Jebat dan lain-lain. Pendidikan ini adalah bersifat kemasyarakatan kerana ia dapat dilihat dan dirasakan oleh ahli masyarakat yang terlibat. Mengambil pengajaran daripada pelbagai peristiwa dan musibah yang dialami masyarakat adalah satu proses pembelajaran yang paling berkesan. Ahli masyarakat akan terus mengingati pristiwa yang telah berlaku dan berazam tidak mahu mengulangi kesilapan lalu.

Kepentingan mendengar dan mengikuti nasihat daripada orang yang lebih tua dan berpengalaman seperti yang terdapat dalam wasiat sultan Maliku's Salleh, wasiat Sultan Muzafar, Alaudin. Mansur dan wasiat bendahara Paduka Raja Tun Perak. Golongan tua dan berpengalaman adalah ahli masyarakat yang mampu mengajar dan memberi petunjuk yang berkesan. Ahli masyarakat yang terkemudian wajar akur dan mengambil perhatian tentang pengalaman pemimipin terdahulu. Ternyata kebanyakan nasihat dari wasiat yang telah disebut secara kebetulan telah berlaku ke atas ahli masyarakat yang berkenaan. Oleh itu wajarlah perkara yang berkaitan dengan wasiat diambil perhatian.

Berdasarkan novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur.

Pendapat tentang pendidikan dalam SBDKL adalah mendekati definisi yang diutarakan oleh kebanyakan sarjana moden kerana novel ini diterbitkan sesuai pada zaman dan keperluannya. Isu masyarakat moden ini diperjuangkan oleh penulis kerana menyedari kepentingan pendidikan kepada pembangunan masyarakat masa kini.

Keperluan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sebagaimana yang dilakukan oleh encik Muhammad ke atas anaknya. Rahim telah dihantar ke London untuk belajar pengurusan perniagaan. Manakala Datuk Tan menghantar Robert untuk belajar tentang kejuruteraan.
Perlunya mempelajari pengetahuan agama. Lebai Maarup adalah golongan ilmuan agama yang telah belajar agama dan mampu menyampaikan ilmu kepada orang ramai. Pengetahuan agama Lebai Maarup pula telah menyumbang kepada keseimbangan tuntutan dunia dan akhirat. Beliau mengajar masyarakat agar menybangkan harta pada jalan Allah seperti usaha beliau mewakafkan harta arwah ibubapanya.

Perlunya mendengar nasihat orang tua. Sudin akhirnya sudi mendengar dan mengikuti nasihat ibu bapa walaupun sebelum ini sering membantah kata-kata orang tuanya. Begitu juga penerimaan pendapat pihak lain yang menjadi salah satu bentuk pendidikan moden. Kita perlu sedar bahawa diri manusia tidak lengkap dan menguasai segala ilmu. Oleh encik Muhammad sedar bahawa dirinya mungkin hebat dalam ilmu perniagaan tetapi ada kekurangan dari aspek ilmu agama dan kemasyarakatan.