Syair Ikan Terubuk



Syair Ikan Terubuk
Syair Ikan Terubuk adalah sebuah kumpulan syair Melayu yang diciptakan pada abad ke-19, berupa media lisan tanpa diketahui siapa penciptanya. Terdiri dari 285 bait, karya besar yang menjadi masterpiece ini membentangkan kehidupan habitat ikan didalam air, baik air laut maupun air tawar secara lengkap. Uniknya, Syair Ikan Terubuk menjadi sangkakala mantra dalam upacara Semah Laut di Bengkalis, iaitu sebuah upacara mengundang ikan-ikan terubuk melalui cara supranatural, yang dilakukan secara turun-temurun.

Kisah dua kerajaan yang memerintah di persekitaran kawasan kerajaan air masin dan air tawar. Kerajaan air masin diwakili oleh ikan terubuk manakala kerajaan air tawar diwakili oleh ikan puyu-puyu.            Ikan terubuk dikatakan seolah-oleh ikan puaka yang berasal dari laut di Melaka. Perkataan “puaka” boleh dikaitkan dengan ancaman musuh dan perseteruan. Ikan terubuk sangat meminati ikan puyu-puyu. Namun ikan puyu-puyu tidak sedikitpun menyukai ikan terubuk. Ini dapat dilihat pada rangkap 2 dan 3;

            Mula dikarang ikan terubuk,
            Lalai memandang ikan di lubuk,
            Hari dan jantung bagai serbuk,
            Laksana kayu dimakan bubuk.

            Asal terubuk ikan puaka,
            Tempatnya konon di laut Melaka,
            Siang dan malam berhati duka,
            Sedikit tidak menaruh suka.

            Dendam rindu inginkan ikan puyu-puyu sangat mendalam dan terubuk sering merindu siang dan malam. Lalu terubuk sering menyeru dan memuja puyu-puyu.Sebagaimana rangkap ke 4 dan 5;

            Pagi petang duduk bercinta,
            Berendam dengan airnya mata,
            Kalbunya tidak menderita,
            Kerana mendengar khabar berita.

            Pertama mula terubuk merayu,
            Berbunyilah guruh mendayu-dayu,
            Senantiasa berhati sayu,
            Terkenangkan puteri ikan puyu-puyu.

Dikatakan bahawa ikan puyu-puyu itu sangat cantik dan sangat berbudi bahasa. Ini dapat dilihat pada rangkap 6;

            Puteri Puyu-puyu konon namanya,
            Di dalam kolam konon tempatnya,
            Cantik mejelis barang lakunya,
            Patutlah dengan budi bahasanya.



            Asal puyu-puyu dikatakan di Tanjung Padang. Ada pendapat mengatakan kawasan ini adalah di Pagar Ruyung Minangkabau di pulau Sumatera. Diceritakan juga gambaran rupa paras tuan puteri yang menyerupa puyu-puyu. Terubuk sangat tertarik dan sering memerhati keayuan wajah puyu-puyu;
            Kolamnya konon di Tanjung Padang,
            Di sanalah tempat Terubuk bertandang,
            Pinggangnya ramping dadanya bidang,
            Hancurlah hati terubuk memandang.
            Asal usul puyu dikatakan keturunan raja. Dikatakan dia mempunyai keupayaan memuja dan berdoa. Sebarang pinta dan doanya akan dimakbulkan demi mengelakkan ancaman terubuk.

            Setelah hari hampirkan senja,
            Puteri bersiap hendak memuja,
            Jika sungguh asalku raja,
            Disampaikan Allah barang disaja.

            Selang tidak berapa antara,
            Turunlah ribut dengan segera,
            Kilat dan petir tidak terkira,
            Datuk nenek turun dari udara.

         Puyu-puyu mendapat pertolongan berkat doanya yang telah dimakbulkan. Pertolongan tersebut telah menyelamatkan dirinya daripada ancaman terubuk yang sangat inginkan dirinya. Lalu berkat datuk neneknya menunaikan pertolongan dengan sepohon pokok pulai yang rendang.  Puyu dapat melompat keluar daripada kolam ke pucuk batang pulai. Maka terselamatlah puyu  daripada ikan terubuk. Dapat dibuktikan pada rangkap ke 14 da 15,

            Membawa sepohon batangnya pulai,
            Datangnya dari Tanjung Balai,
            Eloknya tidaklah ternilai,
            Puteri melihat hairan terlalai.
;
            Pulainya rendang dengan rampaknya,
            Di tengah kolah terdiri dianya,
            Sampailah waktu dengan janjinya,
            Puteri melompat ke atas pucuknya.

    Kehilangan puyu-puyu telah sampai kepada pengetahuan terubuk. Berita kehilangannya telah menyebabkan tuanku bersedih dan mengarahkan supaya segera mencari puyu-puyu. Hajat terubuk ingin bertemu puyu-puyu tidak kesampaian lalu kembalilah terubuk ke laut semula dalam keadaan kecewa sebagaimana rangkap 21;

            Terubuk berenang lalu ke laut,
            Sekalian ikan ramai yang mengikut,
            Hati di di dalam terlalu kusut,
            Bagaikan datang rasanya takut.

Kepentingan karya syair ikan terubuk dalam konteks sarwajagat (world views) masyarakat melayu.

Dua kerajaan yang berbeza.

Berdasarkan latar sejarah penciptaan syair ini, kerajaan ikan terubuk dan ikan puyu ini adalah dua buah kerajaan yang berbeza latar tempatnya. Keinginan saling menakluk antara satu sama lain memang wujud. Malah dikatakan bahawa kerajaan ikan terubuk sangat berkuasa dan mampu mengalahkan kerajaan ikan puyu. Bagi pihak yang lemah, adalah lebih baik membuat tipu muslihat dan mengelakkan diri dari berperang dengan pihak yang lebih kuat.

Perbezaan budaya dan pandangan hidup.

Syair ini juga memberi gambaran secara simbolik tentang kehidupan manusia yang berbeza budaya dan pegangan hidup. Perbezaan budaya dan pegangan hidup ini mungkin tidak boleh diterima oleh pihak yang lain. Contohnya dalam soal makan dan minum yang halal bagi umat Islam, mungkin akan menjadi masalah besar bagi mereka untuk hidup dalam kalangan orang yang bukan Islam. Latar budaya hidup ikan terubuk sudah tentu berbeza berbanding kehidupan ikan puyu. Oleh itu ikan terubuk tidak boleh memaksa ikan puyu untuk hudup bersamanya kerana ikan puyu tidak mungkin boleh menerima cara hidup masyarakat terubuk.

Perbezaan prinsip dan pegangan hidup

Kadang-kadang pegangan hidup yang bebeza tidak memungkinkan kesatuan pendapat dan idea. Ahli masyarakat akan saling berbeza pendapat dan saling membantah antara satu sama lain. Adalah lebih baik ikatan kesatuan itu tidak diwujudkan kerana mungkin akan menyebabkan persengketaan yang berpanjangan. Kehidupan ikan terubuk dan ikan puyu amat berbeza latar tempat, suasana dan budaya hidupnya. Maka adalah lebih baik cinta kasih sayang yang berbeza antara dua latar belakang ini tidak direalisasikan.

Cinta tidak kesampaian.

Apabila peristiwa di dalam syair di atas dikaitkan dengan kehidupan manusia biasa, ia boleh dikaitkan dengan kehidupan manusia yang sedang bercinta. Terdapat cita-cita inginkan seorang gadis atau seorang teruna yang tersemat di dalam hati. Mungkin harapan cinta tidak dapat dipenuhi kerana secara realitinya mereka tidak mungkin bersatu. Terdapat halangan besar yang mungkin menghalang jodoh mereka. Mungkin juga pihak yang dicintai tidak sanggup menerima cinta yang dihajatkan lantaran perbezaaan darjat dan sebagainya. Oleh itu cinta tidak kesampaian dan perpisahan berlaku.












Nilai kepercayaan masyarakat

Kepercayaan Anamisme
.

 Masyarakat melayu dahulu sangat mempercayai roh-roh leluhur mereka. Mereka sering memuja semangat roh nenek moyang mereka apabila mereka menghadapi masalah hidup. Contohnya ayat “Dengan berkat nenek moyangku” dalam rangkap ...............

Kepercayaan Hindu
.

 Selepas anamisme, masyarakat melayu mengamalkan ajaran hindu. Oleh itu kepercayaan terhadap dewa adalah salah satu bentuk kepercayaan yang penting bagi mereka. Dewa selalunya menjadi pengantara bagi memohon doa dan permintaan mereka agar dimakbulkan. Contohnya ayat “Disampaikan dewata barang pintaku”

Kepercayaan agama Islam
.

 Kepercayaan masayarakat yang diterjemahkan dalam syair ini adalah setelah kedatangan Islam. Oleh itu, walaupun terdapat unsur kepercayaan lain wujud dalam syair ini namun keutamaannya adalah usur-unsur Islam. Hal ini dapat dilihat melalui pembukaan syair ini telah memulakannya dengan menyebut nama Allah dan bismillah. Contohnya “bismillah itu permulaan kalam”. “Dengan nama Allah khalik al-alam. Ia dikenali juga dengan isilah “Doksologi”. Kemudian di tengah syair ada menyebut “Ya Ilahi Ya Tuhanku,”.  Semua perkara ini menunjukkan bahawa kepercayaan Islam adalah menjadi teras gambaran masyarakat melayu.

No comments: