Nilai novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur

NILAI DALAM SBDKL

Dalam teks Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur terdapat beberapa nilai dan mesej pengajaran yang telah diterapkan atau diketengahkan oleh penulisnya. Antara nilai yang terdapat dalam novel ini ialah nilai kemanusiaan, nilai kemasyarakatan,nilai keagamaan dan moral.

Nilai kemanusiaan yang pertama ialah nilai pemurah. Sifat ini dapat dilihat melalui watak Imam Saad yang telah mewakafkan tapak surau di Kampung Pulai. Walau bagaimanapun, tanah wakaf tapak surau itu juga akan dilombong dan digantikan oleh Syarikat Lombong Lembah Tualang dengan sebidang tanah di Pekan Tualang. Manakala Pengghulu Mahmud pula telah membenarkan penduduk yang tidak bertanah tinggal di tanah milik keluarganya disamping mengerjakan tanah tersebut. Mereka juga telah dibayar ganti rugi setelah tanah itu dijual kepada Syarikat Lombong lembah Tualang. Watak yang terakhir memperlihatkan nilai ini ialah Lebai Maarup yang telah mewakafkan tanah pusakanya untuk mendirikan surau walaupun dia tahu akan mendapat wang yang banyak sekiranya tanah itu dijualkan kepada Syarikat Lombong Lembah Tualang.

Nilai kemanusiaan yang kedua ialah keberanian dan keyakinan diri. Nilai ini dapat dilihat dalam watak Rahim apabila dia berani menentang ayahnya yang cuba mengumpul dan menambah kekayaan dengan menjalankan projek perlombongan sedangkan penduduk Kampung Pulai teraniaya. Selain itu,terdapat juga watak lain yang menunjukkan keberanian, iaitu watak Muhammad Alif. Alif merupakan anak kepada Maimunah binti Datuk Indera Idris dan waris nombor kesembilan keluarga Datuk Indera yang berani bertanya kepada Encik Muhammad tentang wang tanah.Beliau juga memberi cadangan agar semua waris melabur dalam Syarikat Lombong Lembah Tualang melalui jumlah wang harga bahagian masing-masing dimasukkan sebagai saham. Pertanyaannya ini telah mencabar kewibawaan Encik Muhammad. Watak ini juga diperlihatkan dalam watak Kemat Jerangkung yang merupakan pengikut Lebai Maarup yang setia. Dia telah menjadi pembela Lebai Maarup pada saat-saat genting. Dia juga telah memberanikan diri menjadi informer kepada polis sehingga Mat Akil dan rakan-rakannya tertangkap.

Nilai kemanusiaan yang ketiga ialah simpati dan belas kasihan. Nilai ini telah ditonjolkan melalui watak Pak Salim, Sudin, Sani, Mat Akil, Bilal Endut dan Kemat Jerangkung. Nilai ini terjadi melalui peristiwa yang berlaku,contohnya Sudin bersimpati dengan Sani yang ingin meminjam wang dengan finance. Oleh itu, dia telah menawarkan Sani menggantikan tempatnya sebagai wakil Yang Berhormat Muhd. Yusuf. Manakala Pak Salim amat bersimpati dengan nasib Sudin dan menasihatinya supaya balik bertemu kedua-dua ibu bapanya untuk menjernihkan keadaan. Sebaliknya Sani telah kembali menetap di Pekan Kuala kerana bersimpati dengan ayahnya. Kesannya, ayahnya telah memohon untuk berhenti menjadi imam.

Nilai kemanusiaan yang keempat ialah menghormati orang tua. Antaranya ialah Encik Muhammad memarahi golongan muda yang tidak menghormati abangnya, iaitu Datuk Indera Mahmud yang yang berucap ketika majlis pembahagian harta pusaka. Selain itu, Lebai Maarup yang disenangi oleh golongan tua di Kampung Pulai seperti Imam Saad, Tuk Empat Dahlan, Pak Salim dan Bilal Endut kerana sifatnya yang menghormati orang yang lebih tua.

Nilai kemanusiaan yang kelima ialah kerjasama dan tolong-menolong. Nilai ini telah diserapkan dalam watak Rahim dan Robert. Mereka telah berkawan sejak di bangku sekolah lagi. Kedua-dua ibu bapa mereka berkawan rapat dan menguruskan perniagaan yang sama. Mereka bersama-sama melanjutkan pelajaran ke luar negara dan menjadi harapan ibu bapa mereka. Semasa di London,mereka saling mengambil berat dan tolong-menolong antara satu sama lain sehinggakan pulang ke tanah air bersama. Selain itu, Imam Saad dan Lebai Maarup bekerjasama dalam berdakwah. Kehadiran Lebai Maarup ke Kampung Pulai memberi harapan baru kepada Imam Saad dalam usahanya mendekatkan masyarakat dengan agama. Lebai Maarup telah berjaya meramaikan jemaah di surau kampung itu. Dengan kerjasama Lebai Maarup beban yang ditanggung oleh Imam Saad telah berkurangan.

Pelbagai nilai kemasyarakatan yang dapat dikesan dalam novel ini. Antara nilai positif tersebut ialah masyarakat yang berkerjasama. Kerjasama yang dapat dilihat di kalangan penduduk kampung Pulai ialah untuk menyambut lawatan Duli Yang Maha Mulia Sultan. Selain itu, masyarakat bergotong-royong untuk menyiapkan jamuan pada hari Jumaat sempena perjumpaan dengan Yang Berhormat Muhd. Yusuf. bersama orang kampung di surau sebelum sembahyang Jumaat.

Nilai masyarakat yang kedua ialah masyarakat yang penyayang. Rasa kasih sayang ini dapat dilihat menerusi watak Syarifah Mu'inah, Mak Minah, Imam Saad, Mahani dan Rahim.

Nilai kemasyarakatan yang ketiga ialah masyarakat yang rajin dan gigih. Kerajinan dan kegigihan ini dapat dilihat melalui watak Encik Muhammad dan Cik Puan Tipah yang masing-masing berminat dalam dunia perniagaan. Bezanya cuma Encik Muhammad telah lama berkecimpung dalam dunia perniagaan dan berjaya menguruskan projek yang besar manakala Cik Puan Tipah baru mula berjinak dengan dengan dunia perniagaan kerana hobinya menanam orkid.

Nilai kemasyarakatan terakhir yang dapat dikesan ialah masyarakat yang mementingkan kekeluargaan. Menerusi novel ini dapat dilihat semangat kekeluargaan menerusi watak Tok Empat Dahlan yang mengambil berat tentang Mat Akil setelah kedua-dua ibu bapanya meninggal. Begitu juga dengan sikap Bilal Endut yang mengambil berat tentang Lebai Maarup. Semangat kekeluargaan ini juga ditonjolkan oleh pengarang melalui proses pembahagian harta Datuk Indera. Ahli keluarga yang tinggal di wilayah Tualang atau yang merantau ke tempat lain berkumpul di rumah Datuk Indera Mahmud.

Terdapat beberapa perkara dalam novel ini berkaitan dengan nilai keagamaan dan moral. Antaranya ialah bertaubat. Kehidupan Encik Muhammad yang asyik mengejar kemewahan telah berubah selepas penubuhan Syarikat Lombong Lembah Tualang dan mendekati masyarakat kampung Pulai. Dia telah insaf kerana kelalaiannya tidak menunaikan sembahyang dan tidak mendekati TUHAN dengan taat. Dia juga tidak meneruskan lagi perbuatan memnum arak, perbuatan zina, menipu, menganiaya orang dan lain-lain.

Nilai keagamaan dan moral yang kedua ialah perkahwinan. Demi mengelakkan perkara yang tak diingini, Sudin dan Gayah telah dikahwinkan oleh Encik Muhammad. Sebelum ini percintaan mereka tidak direstui oleh orang tua disebabkan sejarah silam keluarga mereka. Oleh sebab itu, perkahwinan pertama mereka menemui kegagalan. Setelah bergelar janda Gayah membawa diri ke bandar sehingga Sudin difitnah melarikannya. Perkahwinan itu telah menyelesaikan masalah mereka dan mereka hidup bahagia.

Nilai keagamaan dan moral yang terakhir ialah mengerjakan ibadah solat. Lebai Maarup digambarkan seorang yang taat mengerjakan ibadah solat dan berusaha mengajak masyarakat kampung khususnya pemuda untuk sama-sama meramaikan surau kampung itu dengan berjemaah. Watak-watak lain yang digambarkan taat mengerjakan solat di surau ialah Imam Saad, Bilal Endut, Tuk Empat Dahlan dan Kemat Jerangkung.

Hj. Mohd. Abidin Ismail

No comments: