Pantun
1.1
Pantun Budi
Pisang
emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang
emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Pulau
Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur
badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
Tenang-tenang
air dilaut
Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati
terkenang mulut tersebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.
Jenis
Pantun
: Pantun empat kerat
Tema Pantun : Pantun budi
Ciri-ciri
1. Jumlah baris serangkap
Empat baris serangkap
2. Pembayang maksud.
Separuh
baris yang awal adalah pembayang maksud.
3. Maksud pantun
Separuh
baris yang akhir merupakan maksud pantun.
4. Jeda.
Terdapat
hentian sebentar di tengah-tengah baris yang dekenali sebagai jeda.
Contoh:
Pulau pandan / jauh ketengah.
5. Jumlah perkataan sebaris.
Terdapat
4 hingga 5 patah perkataan sebaris
6. Jumlah sukukata sebaris.
Jumlah
sukukat antara 9 hingga sebelas sukukata
Kepentingan
pantun budi kepada sarwajagat masyarakat melayu tradisional
1. Komunikasi.
Pantun di atas boleh digunakan ketika berucap di
hadapan khalayak ramai. Biasanya sebagai bahasa pengucapan para pemimpin
masyarakat. Pantun di atas mampu menyampaikan mesej yang berguna kepada
pendengarnya. Pendengar akan faham permintaan dan harapan seseorang pengucap
pantun. Malah pantun itu mampu mengungkapkan rasa terimakasih yang tidak
terhingga kepada orang yang telah “berbudi”.
2. Nasihat.
Pantun di atas mampu memberikan nasihat kepada
seseorang untuk melakukan kebaikan dengan berbudi kepada orang lain. Malah ia
juga menasihatkan seseorang yang telah menerima budi agar sentiasa mengenang
dan menyanjung pihak yang telah berbudi kepada dirinya.
3. Pengajaran.
Seterusnya pantun tersebut mengajar manusia supaya
mengamalkan perbuatan menolong orang lain atau dengan kata lain berbudi kepada
rakan. Ajaran mulia ini mampu diterapkan andai seseorang itu memahami maksud
pantun di atas. Malah ia juga akan mendorong khalayak mengamalkan budaya tolong
menolong kerana amalan mulia akan menjadi bekal ketika kita sudah meninggal
dunia.
4. Gambaran masyarakat.
Gambaran amalan berbudi dapat dilihat dalam
kegiatan harian masyarakat melayu. Mereka menjadikan budaya tolong menolong
sebagai amalan hidup seharian kerana ahli masyarakat saling bergantung antara
satu sama lain. Hidup yang serba kekurangan akan mendorong individu supaya
perihatin akan kesusahan ahli masyarakat yang ada di sekitar mereka.
5. Motivasi supaya berkelakuan baik.
Pantun di atas boleh menjadi pendorong seseorang
supaya berbudi kepada orang lain. Dorongan ini wujud kerana masyarakat melayu
sangat menghargai jasa orang lain. Malah balasan orang berbudi akan di bawa setelah
seseorang itu meninggal dunia. Bagi mereka yang menerima budi pula akan cuba
menolong rakan yang lain pada waktu yang sesuai.
6. Budaya sopan santun.
Gaya bahasa pantun yang menarik sebenarnya
menggalakkan seseorang menasihat dan menyampaian mesej secara bersopan santun.
Keindahan penggunaan pembayang maksud yang menarik dan disertai dengan mesej
pantun tentunya akan menjurus seseorang yang mendengar pantun rasa terdorong
untuk berbudi dan menghargai budi orang lain.
7. Adat istiadat.
Penggunaan pantun di atas sangat sesuai digunakan
dalam majlis-majlis tertentu dan ketika menjalankan adat istiadat. Orang melayu
sangat mementingkan pengucapan yang tersusun untuk menyampaikan hasrat dan
meluahkan perasaan mereka.
8. Hiburan.
Kadangkala pantun di atas boleh digunakan ketika
melagukan sesuatu irama yang diiringi dengan bunyi-bunyian seperti gendang dan
tiupan serunai. Selain memberi nasihat, pada masa yang sama mampu menghibur
khalayak melalui keindahan susunan kata dan maksud puisi.
Aspek Estetik Pantun.
Estetika adalah salah satu cabang falsafah.
Secara sederhana, estetika adalah ilmu yang membahas keindahan, bagaimana ia boleh terbentuk, dan bagaimana
seseorang boleh merasakannya. Pembahasan lebih lanjut mengenai estetika adalah
sebuah falsafah yang mempelajari nilai-nilai sensoris (perasaan), yang kadang
dianggap sebagai penilaian terhadap sentimen dan rasa. Estetika merupakan
cabang yang sangat dekat dengan filosofi seni.
Esetetika berasal dari Bahasa Yunani iaitu aisthetike. Pertama
kali digunakan oleh filasuf Alexander Gottlieb Baumgarten pada 1735 untuk
pengertian ilmu tentang hal yang boleh dirasakan melalui perasaan.
Pada masa kini estetika boleh berarti tiga perkara iaitu:
1. Kajian mengenai fenomena estetik
2. Kajian mengenai fenomena persepsi (tanggapan)
3. Kajian mengenai seni sebagai hasil pengalaman estetik
1. Kajian mengenai fenomena estetik
2. Kajian mengenai fenomena persepsi (tanggapan)
3. Kajian mengenai seni sebagai hasil pengalaman estetik
Setelah memahami maksud estetik maka berikut adalah
rumusan aspek estetik bagi pantun budi secara umum.
Aspek Estetik Pantun.
1. Keindahan pemilihan kata.
Aspek utama nilai estetik pantun ialah pemilihan
kata yang tepat. Perkataan yang wujud dalam pantun sangat menepati maksud dan
tujuan puisi dicipta. Contohnya perkataan “hancur badan” begitu tepat untuk
memberi maksud seseorang yang sudah mati. Kematian itu pula digambarkan dengan
jangka masa kematian yang sudah lama.
2. Keindahan unsur bunyi
Kemudian diikuti dengan penggunaan rima yang tepat
samada di awal, di tengah dan di akhir baris. Contoh yang jelas seperti
perkataan “pandan” dan “badan” pada tengah baris. Begitu juga perkataan
penggunaan perkataan “tiga” dan “juga” digunakan di akhir baris. Unsur bunyi
juga wujud dalam aspek bunyi vokal dan konsonan. Ia dikenali juga sebagai
asonansi dan aliterasi.
3. Keindahan cara berkomunikasi
Penyampaian komunikasi yang menggunakan gaya bahasa
yang lemah lembut dan sopan mampu menimbulkan rasa hormat kepada khalayaknya.
Para pendengar akan rasa terusik dan terkesan yang mendalam kerana gaya
penyampaian, pengucapan dan pemilihan kata yang menyentuh perasaan. Para
penutur pantun bijak berfikir dan menggunakan pantun sebagai satu cara
komunikasi yang sangat berkesan.
4. Keindahan pengucapan yang sopan.
Seseorang yang ingin memberi nasihat perlu
berhati-hati dengan pengucapan agar tidak mengguris hati dan perasaan rakan.
Budaya melayu yang mengamalkan sopan santun memerlukan sesorang itu menyusun
kata secara sopan dan teratur.
5. Keindahan maksud puisi.
Maksud puisi begitu indah dan mendalam maksudnya.
Khalayak akan rasa dihargai dan sentiasa bersangka baik kepada teman dan
taulan. Maksud puisi ini membolehkan seseorang menerima baik nasihat, saranan
dan permintaan penutur pantun. Tidak wujud rasa kecil hati dan rendah diri
kerana nilai pantun ini begitu lembut ketika menyatakan tujuan pengucapan.
Kefahaman terhadap maksud dapat dirasa sehingga ke dalam sanubari hati
pendengar.
Pemikiran Pantun
1. Nilai perbandingan budi.
Nilai budi tidak boleh dibandingkan dengan sebarang
nilai harta dunia termasuk emas. Budi itu mempunyai nilainya yang tersendiri.
Budi tidak ada tukar ganti. Sesuai dengan ayat “hutang emas boleh dibayar”,
maka orang yang menerima budi tetap tidak akan mampu membayarnya sekalipun
dengan harta yang paling tinggi nilainya iaitu emas.
2. Mengenang budi sehingga mati.
Mengenang budi seseorang bukan setakat ketika
seseorang hidup di dunia sahaja. Budi seseorang itu akan tetap dikenang
walaupun dia telah mati tetap akan disebut orang. Sesuai dengan isi pantun
tersebut iaitu “hancur badan dikandung tanah” yang memberi maksud sudah
meninggal dunia.
3. Menghargai budi/Rasa terhutang
budi.
Bagi mereka yang telah menerima budi tentunya akan
rasa terhutang budi. Penghargaan terhadap orang yang berbudi begitu tinggi
sehingga meletakkan penghargaan itu di tempat yang sangat mulia dan dibawa ke
mana sahaja. Hal ini merujuk kepada maksud perkataan “rasa nak junjung” dalam
rangkap ketiga pantun di atas.
Nilai Kemanusiaan
1. Manusia yang saling bergantung
antara satu sama lain.
Hidup masyarakat melayu pada zaman tradisional
penuh dengan kesusahan dan saling bergantung antara satu sama lain. Setiap
individu yang menjadi ahli masyarakat akan sering memerlukan pertolongan ahli
masyarakat yang lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. Budi merupakan amalan
yang tidak boleh ditinggalkan. Sesiapa yang tidak mengamalkannya dianggap
bersifat melukut di tepi gantang, seperti kera sumbang dan sebagainya.
2. Manusia yang sentiasa mengejar
harta
Masyarakat melayu tidak ketinggalan dari segi
mengumpulkan harta kekayaan. Lambang kekayaan masyarakat diukur dari sudut
jumlah hartanya. Harta yang dianggap paling tinggi nilainya adalah emas. Lalu
perbandingan kekayaan seseorang diukur melalui jumlah emas yang mampu dimiliki
oleh seseorang. Namun nilai emas tidak sama dengan nilai budi.
3. Manusia yang boleh menilai erti
budi berbanding harta.
Seeorang itu perlu meletakkan kedudukan budi itu
sesuatu yang amat mulia di sisi mereka. Budi perlu diletakkan pada tempat yang
tinggi dan tidak boleh dibandingkan nilainya dengan harta seperti emas. Oleh
itu manusia hendaklah sedar bahawa budi itu tidak boleh dibayar
4. Manusia yang sentiasa mengenang
budi orang lain.
Setiap individu perlu menghargai pertolongan orang
lain walau sekecil mana budi tersebut. Rangkap puisi ketiga menggambarkan
betapa seseorang yang pernah menerima budi akan sentiasa menjunjung budi.
5. Manusia yang percaya dengan hari
pembalasan.
Kebanyakan pantun budi mengaitkan balasan budi itu
tertangguh sehingga seseorang itu meninggal dunia sebagaimana rangkap pertama
dan rangkap kedua pantun. Manusia percaya bahawa berbudi adalah amalan mulia
yang mendapat balasan pahala di sisi Allah. Kita perlu ikhlas dengan
pertolongan yang telah diberikan dan jangan terlalu mengharapkan balasan di
dunia sahaja.
Gambaran
masyarakat dalam pantun.
1. Masyarakat yang tinggal di tepi
pantai.
Melalui ketiga-tiga pembayang maksud pantun
terdapat gambaran bahawa pencipta pantun ini tinggal dalam persekitaran tepi
pantai dan lautan. Ini dapat digambarkan melalui pemilihan kata yang berkaitan
dengan latar tempat berkenaan seperti “belayar”, “pulau Pandan”,
”tanjung”, “kolek” dan gambaran suasana “air tenang” .
2. Masyarakat petani dan nelayan.
Masyarakat melayu terdisional tidak boleh lari
daripada menjalankan kegiatan bertani seperti menanam “pisang” dan sebagainya.
Manakala bagi mereka yang tinggal di persisir pantai akan “belayar” dan
menjalankan kegiatan nelayan.
3. Masyarakat yang menggunakan jalan
air sebagai pengangkutan.
Sistem pengangkutan tradisional yang paling mudah
di kalangan masyarakat melayu zaman dahulu adalah melalui jalan air. Mereka
akan menggunakan alatan yang sesuai ketika bergerak melalui jalan air.
Penggunaan alat pelayaran, sampan dan kolek adalah sesuatu yang perlu pada
waktu itu. Malah mereka perlu memahami keadaan yang sesuai ketika bergerak
supaya selamat dalam perjalanan. Mereka perlu menunggu air yang tenang apabila
menggunakan sampan kolek.
4. Masyarakat yang saling tolong
menolong.
Lumrah kehidupan orang yang hidup bermasyarakat
adalah saling bantu membantu antara satu sama lain. Orang yang tidak
mengamalkan hidup berbudi dan tolong menolong akan dianggap tidak bermasyarakat.
5. Masyarakat yang sentiasa
mengenang budi.
Masyarakat yang baik akan selalu mengenang budi
walau budi itu kecil nilainya. Perkara tersebut termaktub dalam ketiga-tiga
maksud pantun budi di atas. Malah mereka yang tahu erti budi akan menjunjung
dan mengingati budi orang lain.
6. Masyarakat yang mempercayai hari
kemudian.
Mesyarakat melayu secara umumnya beragama Islam.
Mereka mempunyai kepercayaan yang kukuh terhadap hari kemudian atau disebut
juga hari pembalasan. Mereka yakin seseuatu amal samada baik atau buruk akan
mendapat pembalasan yang setimpal. Begitu juga amal berbudi kepada orang lain
dipercayai akan mendapat balasan baik selepas meninggal dunia sekalipun tidak
mendapat balasan di dunia.
Analisa karya secara umum.
Kehidupan masyarakat melayu zaman
dahulu yang serba kekurangan menyebabkan mereka saling bergantung antara satu
sama lain. Budaya tolong menolong dan berkerjasama adalah amalan yang diamalkan
setiap hari. Tanpa bantuan ahli masayarakat yang lain, sesuatu kerja itu
mungkin tidak akan selesai. Sebagai contoh dalam kegiatan membina sebuah rumah.
Pembinaan rumah akan bermula daripada kegiatan menebang pokok, membelah,
memahat sehingga mendirikannya tentu tidak mampu dilaksanakan secara
bersendirian. Semuanya memerlukan bantuan ahli masyarakat.
Semua aktiviti yang memerlukan pertolongan pihak lain ini dianggap aktiviti
yang tergolong sebagai perbuatan berbudi. Apabila manusia sudah menerima budi
tentunya individu tersebut akan sentiasa terkenang budi, terhutang budi dan
cuba untuk membalas budi. Mungkin pada masa yang lain, pihak yang sudah
menerima budi tersebut akan cuba membalas budi mengikut kemampuan
masing-masing. Bentuk pertolongan yang mereka akan lakukan mungkin dalam bidang
yang lain pula. Kalau dahulunya mereka ditolong ketika membina rumah, mungkin
pada masa yang lain balasan budi itu berbentuk pertolongan lain pula.
Oleh itu nilai budi tak mungkin
sama dengan nilainya ketika budi seseorang itu diberi berbanding ketika pihak
yang telah menerima budi itu membalas budi. Oleh itu nilai budi tidak boleh
dibanding-bandingkan. Malah sekiranya dibandingkan akan menyebabkan ungkitan
dan rasa tidak ikhlas. Nilai pertolongan ketika seseorang itu memerlukan
sebenarnya amat tinggi nilainya. Contohnya seperti pertolongan ketika lemas di
sungai, ketika lapar dan sebagainya. Seseorang itu mungkin sukar untuk menolong
pihak yang telah berbudi pada peristiwa yang sama. Jika adapun mungkin wujud
dalam bentuk pertolongan yang lain.
Tegasnya budaya berbudi ini adalah sebahagian daripada kehidupan masyarakat
melayu zaman dahulu dan akan diamalkan sehingga sekarang. Sesiapa yang tidak
mahu berbudi akan dianggap sombong dan mementingkan diri sendiri. Ahli
masyarakat tidak boleh hidup bersendirian seolah-olah tidak memerlukan
rakan-rakan dan saudara mara. Oleh itu tema budi menjadi salah satu tema pantun
masyarakat melayu zaman tradisional.
No comments:
Post a Comment