Pembangunan Masyarakat - Sosial



Sosial

Sosial ialah kata yang merujuk kepada hal-hal yang berkaitan masyarakat dan kemasyarakatan. Terdapat empat kajian pada bahagian B ini:

1.0 Budaya 
(Mengenal pasti dan menghubungkaitkan budaya setempat dalam kehidupan seharian)
Secara amnya, budaya bermaksud cara hidup manusia. Ia merupakan satu proses perkembangan sahsiah, akal, semangat dan usaha manusia dalam sesuatu kelompok manusia. Perkara ini dapat dilihat melalui etimologi perkataan “budaya” yang bermaksud ” budi + daya “; yakni budi sebagai aspek dalaman manusia yang meliputi akal dan nilai, manakala daya sebagai aspek lahiriah manusia yang meliputi usaha dan hasilan. Maka pada kesimpulannya, budaya boleh difahamkan sebagai segala penghasilan masyarakat manusia dalam pelbagai bentuk sama ada yang dapat dilihat atau tidak. Konsep budaya merupakan satu konsep yang penting untuk membandingkan perbezaan antara suatu masyarakat dengan suatu masyarakat yang lain. 

Budaya adalah pengkongsian suatu masyarakat. Budaya tidak boleh berpisah dengan bahasa. Budaya diperolehi melalui proses pembelajaran.

Sejarah Melayu

1. Sebelum kedatangan Islam. Penceritaan Sejarah Melayu sebelum Islam datang didapati terdapat pelbagai cerita mitos dan dongeng sekalipun bercampur dengan cerita benar. Cerita tentang pembukaan negeri dan tempat sering dikaitkan dengan kejadian-kejadian ajaib. Umpamanya ribut taufan ketika pembukaan Singapura. Begitu juga kisah cacing gelang-gelang ketika pembukaan Semundra dan kisah seekor pelanduk putih menerajang dua ekor anjing perburuan ketika pembukaan Melaka. Semua perkara yang disebutkan menggambarkan budaya kehidupan masyarakat dahulu yang mempercayai unsur keajaiban dan mengamalkan pantang larang tentang sesuatu perkara. Sultan sanggup mencampakkan mahkota diraja kerana mengharapkan akan reda dalam pelayaran mereka.



2. Selepas kedatangan Islam terdapat amalan hidup beragama. Penduduk Melaka dan Semundera telah berubah cara hidup apabila agama Islam datang ke negara mereka. Antaranya gelaran raja telah ditukar kepada sultan dan nama mereka telah bertukar kepada nama Islam.. 


3. Budaya hidup istana.

4. Budaya hidup rakyat jelata.
5. Budaya berpakaian dan peraturan-peraturan istana.


Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur.
1. Budaya hidup masyarakat kampung.
2. Budaya masyarakat kota.
3. Budaya hidup masyarakat peniaga.

2.0 Perpaduan 
(Mengenal pasti elemen pemantapan perpaduan masyarakat majmuk).
Perkataan “perpaduan” ini asalnya dari perkataan “padu” iaitu “mampat”, “pejal” dan “padat”. Perpaduan sebenarnya ialah penggabungan. Perihal bergabung menjadi satu atau persatuan. Lawan bagi “perpaduan” ialah “permusuhan”, “kehancuran” dan “perpecahan”. Jadi, perpaduan dilihat adalah sebenarnya tuntutan untuk satu perkara yang baik manakala perpecahan pula satu perkara yang sangat keji dan tidak baik.


Sejarah Melayu

1. Perpaduan ke arah Melaka yang lebih makmur. Peristiwa sultan Muzaffar Syah menceraikan isterinya Tun  Kudu adalah satu peristiwa yang menunjukkan pengorbanan yang tinggi. Tindakan sultan adalah salah satu cara untuk mengelakkan perpecahan. Sultan memang memerlukan Tun Perak sebagai bendahara bagi menggantikan Tun Ali yang kurang berkesan. Kedaan negeri Melaka yang belum stabil amat mendesak beliau bertindak bijak. Ini berikutan peristiwa rampasan kuasa sebelum itu yang menyebabkan sultan Abu Syahid dan Raja Rekan meninggal dunia. Sultan Muzafar yang naik takhta selepas rampasan kuasa itu, perlu menyatukan semula penduduk Melaka dengan segera. Beliau telah melihat potensi Tun Perak yang berwibawa ketika memimpin angkatan Melaka berperang dengan Siam. Oleh kerana Seri Nara Diraja Tun Ali inginkan Tun Kudu sebagai syarat melepaskan jawatan bendahara maka sultan Muzaffar terpaksa berkorban dengan menceraikan isterinya. Peristiwa ini telah memberi kesan kepada kemakmuran Melaka seterusnya. Jika sultan tidak bertindak demikian, mungkin Melaka berada dalam keadaan yang tidak stabil secara berterusan.



3.0 Mobiliti 
(Menghuraikan mobiliti sosial dalam pembangunan masyarakat)


Mobiliti sosial merupakan pergerakan daripada satu tahap kelas sosial kepada tahap kelas sosial yang lain. Menurut Paul B. Horton dan Chester L. Hunt (1992), mobiliti sosial dapat diertikan  sebagai  suatu  gerak perpindahan  dari suatu  kelas ke sosial. Pendapat ini hampir sama dengan pendapat terdahulu oleh S. A Wila Hucky (1982), yang menyatakan bahawa mobiliti sosial sebagai pergerakan individu atau berkumpulan dari suatu status ke status yang lain dalam masyarakat. Lebih lanjut mengenai mobiliti sosial ini dikemukakan oleh Kimball Young dan Raymond W.Mack, bahawa gerak sosial atau mobiliti sosial adalah suatu pergerakan dalam struktur sosial iaitu pola-pola tertentu yang mengatur organisasi suatu kelompok sosial. Struktur sosial mencakupi  sifat  hubungan  sesama  individu dan hubungan antara individu dengan kelompoknya.

Sejarah Melayu

Mobiliti yang bersifat pengembaraan (fizikal)
1. Mobiliti hendak melihat negeri matahari terbit.
2. Mobiliti turun ke negeri bawah laut.
3. Mobiliti turunnya tiga orang anak raja di Bukit Siguntang.
4. Mobiliti perpindahan dan membuka Singapura.
5. Mobiliti melarikan diri dari Singapura dan membuka Melaka.
6. Hubungan diplomatik zaman sultan Mansur Syah.

Mobiliti spritual
1. Menerima kedatangan Islam. Masyarakat berubah daipada kepercayaan tidak bertuhan kepada percaya akan keesaan Allah dengan datangnya pendakwah dari timur tengah. Sultan menjadi orang pertama memeluk Islam dan diikuti oleh seluruh masyarakat Melaka.

Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur.

Mobiliti fizikal.
1. Perpindahan penduduk kampung Tualang ke Felda.

4.0 Susun lapis masyarakat 

(Menghuraikan susun lapis masyarakat dalam konteks pembangunan)
Susun lapis masyarakat adalah berkaitan dengan bentuk hiraki masyarakat. Terdapat bentuk berbeza antara  masyarakat zaman dahulu dengan zaman moden. Dalam masyarakat tradisional, raja mempunyai kedudukan tertinggi dalam masyarakat. Kemudian diikuti dengan kumpulan-kumpulan lain yang terdiri daripada pembesar, rakyat jelata dan hamba. Bagi masyarakat moden pula, susun lapis masyarakat adalah bergantung kepada kedudukan kumuniti, kampung, daerah, negeri dan negara. Bagi peringkat negara, peringkat tertinggi hiraki adalah terdiri daripada pemimpin negara yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Raja pula diletakkan pada satu institusi lain yang tersendiri dan berfungsi mengikut konsep raja berpelembagaan. Setiap lapis masyarakat yang ada akan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan masyarakatnya. samada dari segi ekonomi, politikdan sosial.

Berdasarkan Sejarah Melayu.

Corak pemerintahan dan pentadbiran di negeri Melaka telah mempengaruhi pembentukan susun lapis masyarakat. Setiap lapisan masyarakat mempunyai kedudukan dan fungsinya yang tersendiri. Secara umum, masyarakat Melayu tradisional Melaka dapat dibahagikan kepada dua golongan utama iaitu golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah. Biasanya golongan yang memerintah ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dan istimewa daripada golongan yang diperintah.






Golongan yang memerintah

1. Raja atau sultan
Raja atau sultan merupakan asas terpenting dalam susun lapis masyarakat Melayu tradisional. Baginda mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam piramid organisasi sosial. Baginda mempunyai kuasa dan wibawa yang paling tinggi bagi memerintah seluruh negeri dan jajahan taklukannya. Baginda dianggap sebagai dewa raja dan baginda merupakan tunggak menyatupadukan rakyat dan merupakan orang yang bertanggungjawab memelihara keamanan dan memajukan negeri. Seseorang raja dilantik melalui pertabalan di atas persetujuan semua pembesar dan biasanya putera sulong atau adik lelaki raja yang akan menggantikan raja yang mangkat.

2. Kerabat raja
Raja sebagai seorang pemimpin, maka dirinya serta keluarganya akan dihormati oleh masyarakat malah kadang-kala rasa penghormatan ini diseliputi oleh perasaan sakral yang tinggi. Mereka dianggap sebagai suci dan amat berbeza dengan golongan rakyat biasa. Mereka juga mempunyai hak-hak istimewa, namum hak mereka adalah tidak boleh melebihi hak istimewa seseorang sultan yang memerintah. Antara keistimewaan yang dinikmati oleh kerabat raja ialah mengguna payung berwarna kuning dan penggunaan bahasa dalaman.

3. Bangsawan dan pembesar
Bangsawan juga dikenali sebagai anak baik-baik. Mereka menggunakan bahasa dalaman untuk mengekalkan identiti mereka. Golongan bangsawan ini terdiri daripada kerabat diraja dan bukan kerabat raja. Mereka adalah berpengaruh di kalangan pemerintah dan pentadbir. Mereka bertanggungjawab mengandalikan jentera pemerintahan dan pentadbiran negeri. Pembesar pula merupakan golongan yang mempunyai kedudukan yang hampir sekali dengan sultan. Biasanya, golongan ini terdiri daripada bukan kerabat raja. Golongan ini akan dianugerahkan suatu kawasan yang menjadi pegangannya dan sumber pendapatannya di mana seseorang pembesar itu dibenarkan mengutip cukai dan mengawal tenaga manusianya. Biasanya mereka dilantik secara turun-temurun.

4. Golongan pemimpin agama
Pemimpin agama dan pendeta juga termasuk dalam golongan bangsawan. Mereka merupakan golongan cerdik pandai yang memegang jawatan mufti dan kadi. Terdapat juga pemimpin agama yang dianugerahkan gelaran kebesaran seeperti Maharaja Kadi, Dato’ Mufti Seri Utama dan Dato’ Mufti Imam Maharaja. Mereka menjadi penasihat raja dan kerajaan dalam hal-hal tentang hukum syarak dan selok-belok agama termasuk mengeluarkan fatwa tentang isu agama. Golongan ini merupakan pakar dalam hal-hal kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, adat-istiadat dan salasilah raja-raja. Mereka juga menjadi pakar rujuk kepada raja serta menjadi penulis dan perawi diraja.


Golongan yang diperintah

1. Rakyat biasa
Rakyat biasa terdiri daripada masyarakat pribumi yang bermastautin tetap dan bilangannya adalah ramai. Mereka selalu menjadi pengikut pembesar di peringkat pusat dan penyokong pentadbir di peringkat jajahan takluk. Mereka terdiri daripada pedagang dan peniaga. Mereka menjalankan perdagangan di pelabuhan. Selain itu, terdapat juga mereka yang menjadi buruh kasar dan tukang mahir dalam pembuatan alat perhiasan dan senjata. Rakyat biasa ini juga terlibat dalam kegiatan pertanian dan penangkapan ikan untuk sara diri.

2. Orang asing
Orang asing selalunya adalah orang bukan Melayu yang hanya mengunjungi Tanah Melayu untuk tujuan tertentu. Mereka terdiri daripada pedagang, perantau, mubaligh atau santeri. Secara amnya, orang asing ini dapat digolongkan kepada dua kumpulan iaitu orang yang menetap terus dan orang yang mengunjung sekali-sekala. Selain itu, terdapat juga masyarakat Tamil-Islam yang berdagang dan bergaul bebas dengan orang pribumi. Keadaan ini telah mendorong kepada kewujudan masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk ini dapat digolongkan kepada dua iaitu masyarakat asing yang menyerapkan diri ke dalam masyarakat pribumi dan masyarakat asing yang masih mengekalkan cara hidup dan identiti masing-masing. Walau bagaimanapun, mereka tidak terlepas daripada undang-undang tempatan.

3. Hamba
Dalam masyarakat Melayu, golongan hamba menduduki susun lapis masyarakat yang paling bawah. Golongan ini dapat dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu :

a. Hamba raja
Hamba raja terdiri daripada mereka yang menawarkan diri untuk menjadi hamba di istana. Mereka melakukan semua jenis pekerjaan dan taraf mereka juga lebih tinggi kalau dibandingkan dengan hamba yang lain. Terdapat juga bekas tahanan perang atau banduan yang menjadi hamba raja.

b. Hamba berhutang
Hamba berhutang ini terdiri daripada rakyat biasa yang gagal membayar hutang kepada pemiutang dalam jangka masa yang ditetapkan. Hamba ini juga disebut sebagai masuk hulun. Mereka yang menjadi hamba berhutang terpaksa bersama isteri dan anak-anaknya tinggal bersama si pemiutang dan bekerja sehingga hutang dibayar. Mereka boleh dijual kepada pembesar-pembesar lain. Walau bagaimanapun, mereka boleh menjadi rakyat biasa semula apabila ia setelah selesai berkhidmat kepada si pemiutang dalam tempoh yang dijanjikan.

c. Hamba biasa
Hamba biasa menjadi hamba seumur hidup kepada pemiliknya secara turun-temurun. Mereka dapat digolongkan kepada tiga jenis iaitu hamba abdi yang membuat kerja yang berat dan kasar. Dengan merupakan hamba yang dibeli dan biduanda yang merupakan orang suruhan yang selalunya dimiliki oleh raja. Sistem perhambaan ini membawa makna bahawa pemilik hamba ini mempunyai taraf sosial yang tinggi dan secara langsung ia menyediakan bekalan sumber tenaga manusia bagi melaksanakan segala kerja.


No comments: